Ell
Edallia duduk memerhatikan langit tanpa jemu. Pagi itu seperti biasa, sangat
indah dan damai. Dia mendengar burung dan unggas bernyanyi riang. Kelihatan pari-pari
Salis berterbangan di sana sini menjalankan tugasan mereka. Pagi yang indah
semakin indah dengan taburan serbuk Scilo yang ditabur oleh pari-pari Salis
penjaga Pohon ajaib, pohon Scilo-Erk. Setiap hati, pari-pari Salis akan
menaburkan serbuk Scilo sebanyak 3 kali,
sekali di waktu pagi, sekali di waktu petang dan akhir sekali pada waktu malam.
Serbuk Scilo merupakan tenaga magis di Eura.
Penghuni
Eura terdiri daripada lima puak utama. Puak pertama adalah puak Salis. Puak
Salis adalah pari-pari yang paling kecil saiz dan bentuk badannya. Sayap mereka
yang kecil terletak di belakang badan mereka. Mereka adalah pari-pari kecil
yang comel dan rajin. Walaupun mereka kelihatan peramah, tetapi sebenarnya
tidak. Mereka jarang berinteraksi dengan pari-pari lain tanpa tujuan. Mereka
amat rajin bekerja. Puak Salis merupakan puak yang terkenal dengan seni
binaannya. Kebanyakkan binaan di Eura adalah hasil kerja puak Salis.
Puak Kedua adalah puak Eurania. Puak ini merupakan
puak yang kuat dan gagah. Saiz mereka juga lebih besar berbanding puak pari-pari
yang lain. Puak Eurania memiliki sepasang sayap seperti helang. Sayap mereka
yang kuat membolehkan mereka terbang dengan lebih jauh dan tinggi. Sesuai
dengan fizikal mereka yang kuat, puak Eurania merupakan pelindung dan pengawal
keselamatan kepada Eura. Satu lagi kelebihan puak Eurania adalah, mereka juga
miliki pendengaran dan penglihatan yang sangat tajam.
Puak
Hera merupakan salah satu puak dalam kelas atasan dalam kasta kehidupan di
Eura. Mereka merupakan pari-pari yang cerdik dan bijak. Selain itu, fizikal
mereka dapat dikenali dengan bentuk telinga mereka yang runcing dan agak
panjang. Oleh kerana mereka memiliki kecantikan dan kepandaian, puak ini amat
sukar didekati kerana mereka amat pentingkan kekayaan dan darjat. Mereka banyak
terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan Eura dan juga mereka terdiri
daripada golongan bangsawan di kerajaan Eura.
Puak
yang keempat adalah puak Psifi. Puak Psifi adalah bangsa pari-pari yang tidak
bersayap. Terdapat lagenda menyatakan bahawa asalnya puak ini juga memiliki
sayap. Namun sayap mereka telah dirampas oleh kuasa kegelapan Merra. Namun
kebenarannya masih tidak dapat dipastikan. Walaupun tanpa sayap, mereka sudah
biasa berjalan di tanah dan memiliki kaki yang kuat. Mereka rajin berkebun dan
bercucuk tanam. Kaum ini sangat ramah dan suka berkawan. Namun mereka selalu
dilupakan oleh kebanyakkan penghuni Eura kerana mereka menghuni di atas tanah,
berbeza dengan kaum pari-pari yang lain yang selalunya memilih pohon-pohon
tinggi, bebunga gergasi dan buah kekeras
sebagai tempat kediaman mereka.
Puak
yang terakhir adalah Puak Risula. Pari-pari yang paling cantik di kalangan
mereka. Puak Risula merupakan puak yang paling sedikit bilangannya. Mereka
miliki fizikal dan sayap yang cantik, badan mereka bercahaya dan
bersinar.mereka juga memiliki suara yang merdu. Selain itu, mereka amat bijak
dan adil saksama. Puak Risula merupakan puak yang memerintah Eura. Mereka
jarang melihatkan diri. Selalunya mereka hanya tinggal di Istana Safira yang
terletak di Gugu, sebatang pokok yang paling besar dan tinggi yang terdapat di
Eura. Selain memerintah kerajaan Eura, puak Risula juga bertanggungjawab
memastikan serbuk scilo terus dihasilkan oleh pokok scilo-erk yang mana
merupakan sumber tenaga magis di Eura. Mereka juga miliki ilmu perubatan yang
tinggi. Walaupun kedengaran mereka sangat istimewa, namun mereka punyai
fizikal yang lemah berbanding pari-pari
lain.
Ell-Edallia
termenung lagi. Langit mula diterangi cahaya violet lembut diselangi dengan
cahaya hijau kebiruan. Sungguh nyaman dan tenang pemandangan di waktu pagi
begini. Namun begitu, ianya tidak dapat meredakan keresahan di jiwa gadis yang
sedang menginjak usia remaja itu.
“Elia…
Apa yang Elia menungkan tu?” tiba-tiba
suara ibunya Kala menegur dari belakang. Ell-Edallia atau nama mesranya Elia tersenyum
pada ibunya yang berwajah penyayang itu.
“Tak
ada apa-apa lah ibu, Cuma tengok-tengok pemandangan kat luar sana… cantik bu”
pantas Elia menjawab. Dia membuang segala keresahan dijiwanya jauh-jauh. Tidak
ingin dia melihat ibunya itu risau akannya. Kala menggeleng kecil dengan
jawapan Elia.
“Setiap
hari kamu melihat pemandangan yang sama. Tidak jemukah kamu Elia?” Kala
bertanya. Elia tidak menjawab dia hanya menggelengkan kepalanya sahaja, tanda
menjawab kepada persoalan ibunya tadi.
“Ibu,
mana ayah?” Elia mengalihkan topik perbualan.
“Dia
baru keluar ke ladang. Katanya buah Erol sudah boleh dituai hari ini. Selepas
usai kerja ibu di rumah ini, ibu juga akan ke ladang membantu ayah
kamu.”Panjang lebar Kala menerangkan.
Elia
bangun dari birai tingkap lalu mendapatkan ibunya yang sudah jelas kedut
mukanya. Pantas dia mengucup dahi wanita Psifi itu.
“Elia
saja yang pergi bantu ayah. Ibu rehatlah di rumah ya”
Tanpa menunggu
persetujuaan ibunya, Elia sudah berlari keluar menuju ke Ladang tempat kerja
ayahnya Eka. Di pertengahan jalan, tanpa sengaja dia telah terlanggar
seseorang. Elia jatuh tersembam ke tanah. Bersusah payah Elia bangun dan
membersihkan kotoran dari bajunya yang di jahit sendiri oleh Kala. Elia
membantu Pari-pari yang dilanggarnya tadi bangun.
“Maaflah Lioden” Elia memohon maaf kepada pari-pari Psifi
yang dipanggil Lioden itu. Lioden membetulkan semula pakaiannya yang comot
diselaputi debu dan pasir.
“Tak
mengapa Elia,” Lioden menjawab lembut. Lioden mula mengutip barang-barangnya yang
jatuh. Elia turut membantu. Perasaan bersalah masih menghantui benaknya. Lioden
adalah gadis Psifi yang lemah lembut. Jauh berbeza dengan watak Elia yang kasar
dan aktif.
“Kamu
kutip barang-barang terpakai lagi Lioden?” Tanya Elia apabila dia mendapati
banyak barang-barang terpakai seperti kalung, buku lama, pakaian yang lusuh,
malahan topi yang berlubang berserakan di atas tanah. Lioden hanya tersenyum.
“Barang
ini masih boleh digunakan jika dibaiki. Sayang dibuang begitu sahaja. Puak
Hera memang suka membazir. Tak salahkan
jika kita mengutip barang terpakai begini. “ Panjang lebar Lioden menerangkan.
“Aku
sudah menduga yang kau akan menjawab begitu,”Elia menarik nafas, dia sudah tahu
jawapan Lioden. Kerana setiap kali dia ditanya dengan soalan berkenaan dengan
hobi peliknya itu, begitulah jawapan yang akan diberikan.
“Tapi
tempat tu bahaya Lioden. Kiranoa banyak berkeliaran di kawasan buangan itu.
Silap-silap kau akan menjadi santapan makan tengah hari atau makan malamnya.”
Entah yang keberapa kali Elia memberikan nasihat itu, namun nampaknya Lioden
tetap degil seperti biasa. Gadis yang kelihatan lemah lembut itu miliki hati
yang sekeras batu. Lioden hanya membiarkan nasihat Elia itu berlalu seperti
angin lalu. Elia hanya menggeleng lemah. Risau dia dengan hobi sahabatnya itu.
“Lain
kali kalau nak pergi ke kawasan buangan tu, ajak aku. Biar aku temankan” ucap
Elia ikhlas. Dia benar-benar bimbang akan keselamatan Lioden. Kawannya semenjak
mereka masih kanak-kanak lagi. Lioden tinggal bersebelahan dengan rumahnya.
Rumah Lioden berkali ganda besarnya daripada rumah Elia. Ini kerana keluarganya
besar.
“Baiklah,
lepas ni kalau aku nak ke sana aku ajak kau, tapi jangan bagi banyak alasan
bila aku ajak ke sana” Lioden menyambut kata-kata Elia dengan mesra. Elia
mengangguk bersetuju dengan janji yang ditagih oleh Lioden. Padanya pergi
berdua lebih selamat berbanding hanya Lioden berseorangan. Dia tahu Lioden
kadang-kadang boleh menjadi seorang yang leka. Apatah lagi apabila jumpa dengan
barang-barang yang dia suka. Walaupun Lioden ada hobi yang merbahaya itu, namun
dia merupakan seorang yang sangat kreatif dan inovatif. Banyak barang baru yang
cantik dihasilkan oleh Lioden dengan menggunakan barang-barang yang
dikumpulnya.
“Ke
mana kau nak pergi Elia?” Tanya Lioden setelah bakulnya penuh dengan
barang-barang yang telah dikutip dari tanah. Elia meletakkan barang terakhir ke
dalam bakul Elia.
“Aku
nak ke ladang. Tolong ayahku memetik buah erol. “ Jawab Elia ringkas. Lioden
hanya mengangguk. Mereka berbual sebentar sebelum Elia meminta diri untuk ke
ladang, manakala Lioden berjalan ke arah rumahnya. Seperti biasa Elia memang
lebih pandai berlari dari berjalan. Dia sampai ke ladang apabila Bintang Ulan
semakin tinggi di langit. Sesampai di sana dia berlari mendapatkan ayahnya yang
sedang memberikan arahan kepada beberapa orang pari-pari Pfisi yang lain. Elia
bersama-sama mereka mengutip buah Erol yang berwarna biru menunjukkan ianya
sedang masak dan akan ranum dalam beberapa hari lagi. Buah Erol merupakan
buah-buahan yang sering di pesan oleh puak Hera dan Risula. Buah erol mempunyai
rasa yang unik dan manis apabila warnanya sudah bertukar kepada ungu. Elia
mengutip buah Erol seperti yang dipesan oleh ayahnya. Walaupun dia kelihatan
sedang tekun bekerja, namun otaknya sedang ligat memikirkan sesuatu. Sesuatu
yang meresahkannya beberapa hari ini.
Kebelakangan
ini dia sering mendapat mimpi yang serupa.
Mimpi yang menakutkan. Pada mulanya, Elia hanya menganggap semua itu
hanyalah mainan tidur sahaja. Namun apabila dia asyik didatangi mimpi yang sama
berulang kali, Elia menjadi cemas dan risau. Dia tidak pasti kepada siapa harus
diceritakan masalahnya itu. Berkali-kali dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tanpa disedarinya, Perlakuannya sedang diperhatikan oleh ayahnya, Eka.
“Elia,
kenapa ayah tengok Elia resah sahaja ni? Ada apa-apa yang mengganggu Elia? Atau
ada apa-apa yang Elia ingin kongsi dengan ayah?” Eka bertanya dengan prihatin.
Elia adalah puteri tunggal dia dan Kala. Sudah tentu Elia ibarat nyawanya. Elia
ditatang bagaikan minyak yang penuh semenjak dia bayi sehinggalah sekarang.
Jika Elia resah, dia juga turut merasa resah. Kegembiraan Elia adalah
kebahagiaannya begitulah sebaliknya. Elia berhenti memetik buah erol. Wajah
ayahnya dipandang mesra. Dia tahu sukar untuknya menyembunyikan apa-apa
daripada Eka. Ayahnya itu seorang pemerhati yang baik. Elia menghadiahkan
sekuntum senyuman kepada ayahnya.
“Tidak
ada apa-apalah ayah, kan Elia tengah petik buah ni. Lagipun panas, sebab tu
wajah Elia berkerut” Elia cuba berdalih. Eka menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan. Dia memegang
lengan anaknya itu, lalu menarik Elia ke bawah pokok yang berhampiran.
“Mari
ayah lihat, sekarang kita di bawah pokok, tidak panas lagi. Tetapi mengapa ayah
masih Nampak wajah anak ayah ni mendung sahaja?” Eka cuba bertanya lagi.
Hatinya tidak puas selagi rahsia hati gadis remajanya itu tidak dirungkaikan.
Elia ketawa kecil.
“Ayah
ni…”Elia terhibur sebentar dengan gelagat ayahnya. Walaupun dia sudah dewasa,
namun ayahnya tetap menganggap Elia sebagai budak kecil dan selalu
melindunginya seolah dia masih Elia yang dulu. Tidak pernah berubah dan itulah
yang menyebabkan Elia merasa sangat bahagia dengan kehidupannya kini.
“Mari, kita berehat sebentar di sini, dan Elia
akan ceritakan pada ayah apa yang sedang mengganggu anak ayah ni” Eka menggamit
Elia duduk di sisinya. Di atas rumbut yang hijau subur, disulami dengan bebunga
kecil bewarna putih dan kuning. Elia duduk bersimpuh di sisi ayahnya. Dia
mengambil masa beberapa ketika sebelum dia memulakan ceritanya. Cerita tentang
mimpi yang sering mengganggu tidurnya kini.
“Ayah…
ayah percaya pada mimpi?” Elia bertanya
“Hmm…
bergantung… ada bijak pandai dari puak Risula dahulu kala mengatakan,
‘kehidupan umpama satu perjalanan mimpi, jadi dalam mimpi kita adalah
pencoraknya, jadi kita tentukanlah jalan hidup sendiri’” Eka menjelaskan. Elia
tersenyum. Ayahnya memang suka berbahasa.
“Ayah…
Elia mendapat mimpi yang sama beberapa hari ini. Mulanya Elia tidak ingin
mengambil kisah. Mungkin itu hanya mainan tidur, tetapi mimpi itu semakin kerap
datang. Tidak kira malam atau siang. Sebaik sahaja Elia melelapkan mata, mimpi
yang dasyat itu akan kembali. Elia takut ayah” Elia mula membuka cerita. Dia
perlukan seseorang untuk mendengar masalahnya.
“Apa
yang Elia mimpikan?” Tanya Eka berminat.
“Pada
mula mimpi itu, Elia sedang bermain-main dalam sebuah taman yang sangat indah.
Ada ramai pari-pari di sana. Elia merasa gembira sekali. Yang hairannya, Elia
ada sayap yang sangat cantik. Badan Elia terasa ringan berterbangan di antara
bunga-bunga yang berkembang. Tanpa Elia sedari sedang Elia asyik menikmati
kecantikan taman itu, Elia telah ditinggalkan kesorangan. Taman yang tadinya
cantik bertukar rupa, cahaya dari pokok Scilo-Erk juga semakin malap dan
akhirnya hilang. Seluruh taman kehilangan serinya. Pokok, bunga dan rumput yang
tadinya subur, semuanya mati. Elia juga kehilangan daya untuk terbang lalu
jatuh ke tanah. Tanah juga sangat gersang ayah, tiada lagi air sungai yang
mengalir, segalanya kering dan gelap. Suasana diselubungi kegelapan. Seolah
Bintang Ulan di telan oleh Kiranoa.” Elia berhenti sebentar. Badannya gementar
mengingatkan apa yang dilihat di dalam mimpinya. Eka mendengar dengan teliti.
Dia membalas genggaman tangan Elia yang erat. Mungkin untuk meminjam sedikit
kekuatan.
“Kemudian,
Elia Nampak banyak bayang-bayang hitam di mana-mana. Mereka mencari dan
menculik setiap pari-pari yang bersembunyi di dalam rumah masing-masing.
Jeritan kedengaran di mana-mana. Elia juga cuba lari. Salah seorang dari mereka
perasan akan kehadiran Elia. Dia mengejar Elia, Elia cuba terbang, tapi gagal,
akhirnya Elia berlari… Kaki Elia terasa sangat berat dan lemah, namun Elia
teruskan juga berlari sehingga akhirnya Elia jatuh tersadung akar kayu. Bila Makhluk
itu mendekati, pada masa itulah Elia sering terbangun dari tidur” Elia
menghabiskan ceritanya, Jiwanya terasa lebih tenang sekarang.
Sekurang-kurangnya ada seseorang yang berkongsi cerita dengannya. Bebanan perasaannya
menjadi lebih ringan.
Eka
kelihatan termenung selepas mendengar cerita Elia. Elia hanya menunggu Eka
mengatakan sesuatu. Akhirnya Eka menepuk-nepuk belakang Elia, mesra dan
perlahan.
“Hmmm…
menarik mimpi Elia ni. Nanti ayah fikirkan. Mungkin ada jawapannya di
mana-mana” Elia cukup gembira dengan balasan ayahnya itu. Sebenarnya dia pun
tidak mengharapkan apa-apa penyelesaian kepada masalahnya itu. Cukuplah
seseorang untuk mendengar dan memahami apa yang tersirat di dalam benaknya
kebelakangan ini. Dua beranak itu, duduk bercerita sebentar dan bergelak
ketawa. Kemudian Kala datang menyertai dengan membawa bekalan makanan tengah
hari untuk Eka dan Elia. Ketiga mereka menyelusuri hari itu dengan sungguh bahagia.
_________________________________________________________________________________
M
|
alam itu, tidur Elia terganggu. Bunyi bising entah dari mana mengganggu tidurnya yang sekian lama terganggu. Elia bangun dari katilnya yang merupakan kelopak sekuntum bunga berwarna pink yang lembut. Elia mengeliat perlahan. Telinga nya mendengar bunyi bising di tingkat bawah rumahnya. Elia mendiamkan diri cuba mendengar dengan lebih jelas apa yang sedang belaku.
“Kala, cepat kita mesti bawa dia pergi dari sini.” Elia mendengar suara Eka bercakap dengan suara yang tertahan-tahan.
“Tapi kenapa Kala?Tiada siapa yang tahu identiti sebenar dia selain kita. Kita sendiri pun tidak tahu siapa sebenarnya dia” Dia mendengar suara ibunya pula. Kali ini Elia semakin menumpukan perhatian. Dia ingin tahu dengan lebih lanjut lagi tentang butir bicara ayah dan ibunya.
“Jadi awak nak tunggu sampai bila? Tadi Werrasi pun sedah menyatakan dia akan melakukan penyiasatan yang lebih terperinci tentang perkara ini. Lambat laun kebenaran akan diketahui juga” Eka bersuara pula. Kali ini tiada lagi bunyi bising lain yang kedengaran. Hanya suara ayah dan ibunya yang kedengaran.
“Kalau kita begini, lagi akan menimbulkan syak bukan?” Kala bertanya.
“Jadi, bagaimana? Saya buntu memikirkannya” Suara Eka pula bertanya. Suaranya penuh emosi dan risau.
“Saya juga risau Eka, dia satu-satunya yang kita ada, tapi kita perlu mencari jalan yang lebih baik.” Suara Kala membalas sayu. Elia yakin ibunya mungkin menangis. Tapi kenapa? Elia berjalan merapati pintu biliknya. Perasaan ingin tahunya membuak. Dia mengintai dari celahan pintu yang berlubang. Kelihatan Eka sedang memeluk Kala yang kelihatan sedang menangis dalam dakapan Eka. Elia hairan. Kenapa ibunya menangis? Mengapa ayahnya yang selalunya tenang, kelihatan tegang dan gusar.
“Sudahlah Kala, perlahankan tangisanmu, nanti Elia terjaga pula” Suara Eka lebih perlahan kali ini.
“Kita akan fikirkannya lagi kemudian, besok pagi aku akan ke denai Laura bertemu dengan saudaraku yang berkawan baik dengan kaum Salis. Mungkin kita akan dapat lebih maklumat di sana” Eka bersuara lagi. Kala hanya mengangguk menandakan dia bersetuju dengan cadangan suaminya itu. Kemudian mereka memadam lampu menjadikan rumah mereka gelap gelita.
Di sebalik pintu, Elia masih terpaku di situ, memikirkan apa yang telah berlaku.

No comments:
Post a Comment